26 September 2009

Aidiladha yang dinanti

SALAM Syawal..

Ketika ini kemeriahan sambutan kedatangan bulan Syawal atau kata orang negara ini 'bulan raya' masih terasa.

Seperti kebanyakan masyarakat Islam lain, penulis turut pulang beraya di kampung pada 19 September lalu. Sebelum pulang, saya memastikan semua sampah di dalam rumah dimasukkan ke dalam plastik.

Dua plastik penuh kesemuanya sampah dikumpul yang diletakkan di luar rumah dengan harapan ia akan dikutip.

Selepas seminggu beraya di kampung, saya kembali semula ke Alor Setar dan tiba malam tadi, kira-kira pukul 12 malam.

Ketika ingin membuka pintu pagar, saya melihat plastik sampah yang telah seminggu saya tinggalkan belum dikutip!

Tiada apa yang mengejutkan kerana itulah masalah di bandar raya ini sejak bertahun-tahun lalu. Berubah pentadbiran kerajaan negeri pun masalah sama masih berulang. Ia bukan satu perkara baru.

Saya pernah menulis mengenai masalah sampah ini pada 5 Ogos lalu (lihat di bawah tajuk 'udang di sebalik batu').

Dua hari lalu mata saya tertarik membaca satu kolum di dalam akhbar Utusan Malaysia yang menyentuh mengenai masalah sampah di bandar raya ini.

Seorang kolumnis di dalam ruangan 'Cuit' menulis mengenainya dengan menggunakan tajuk 'Berhari raya di Alor Setar, bandar raya sampah'.

Susulan tulisannya itu, Menteri Besar Kedah dalam akhbar yang sama memberikan reaksi dengan dilaporkan mengakui malu dengan masalah berkenaan.

Azizan juga dilaporkan berkata: ''Saya beri jaminan Hari Raya Aidil Adha pada bulan November ini, tiada lagi masalah sampah yang menganggu penduduk.''

Kenyataannya itu bagi saya amat menarik kerana sejak sekian lama, masalah sampah di negeri ini sukar diatasi. Tetapi beliau berjanji dalam masa sebulan ia dapat ditangani. Adakah janji ini akan dikota?

Penulis memang tidak sabar lagi menanti kedatangan Adil Adha. Bukan sahaja akan dapat banyak daging korban, tetapi menanti sama ada benarkah masalah sampah di bandar raya negeri jelapang padi ini akan diatasi pada sambutan perayaan itu kelak.

Tunggu dan lihat!