31 July 2009

LOT 1771

ISU pembalakan di Lot 1771, Bukit Kachi di Kedah agak menarik untuk diikuti pada minggu ini. Berbelit-belit dan pening kepala juga mengikuti perkembangan isu berkenaan.

Rentetan kes - Isu itu menjadi tumpuan apabila seorang seorang ahli perniagaan, Lim Chee Hian pada 28 Julai lalu memfailkan permohonan di Pejabat Pendaftar Mahkamah Tinggi Alor Setar bagi mendapatkan perintah komital terhadap dua defendan kerana didakwa telah melakukan penghinaan terhadap perintah mahkamah.

Permohonan perintah komital itu dibuat terhadap seorang pemegang lesen balak dan defendan kedua, Metro Sunview Sdn. Bhd. yang mana tiga daripada pengarahnya didakwa merupakan pegawai kanan di Pejabat Menteri Besar Kedah dan syarikat milik kerajaan (GLC) negeri.

Dalam permohonan itu, Chee Hian yang diwakili oleh rakan kongsinya, Ong Choo Seng, 49, memfailkan perintah komital bagi membolehkan defendan dipenjarakan atau didenda.

Choo Seng mendakwa kononnya dia yang menjadi wakil Chee Hian telah membuat perjanjian dengan seorang pelesen pembalak untuk mengeluarkan saki baki balak di kawasan berkenaan pada September tahun lepas. Dia kemudian telah mendapat kelulusan daripada Jabatan Perhutanan Negeri Kedah untuk menguruskan tanah kayu balak berkenaan pada Februari lalu.

Namum difahamkan beberapa hari kemudian dia mendapat tahu pelesen balak berkenaan telah membuat satu lagi perjanjian di atas tanah yang sama kepada Metro Sunview Sdn. Bhd. Dakwanya, selepas melakukan semakan menerusi maklumat yang diperoleh daripada Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), dia mendapati tiga pegawai kanan di Pejabat Menteri Besar Kedah dan di GLC negeri mempunyai kepentingan di dalam syarikat berkenaan sebagai pengarah.

Mahkamah dilaporkan membenarkan permohonan berkenaan.

Bagaimanapun selepas itu Chee Liam menerusi seorang peguam tampil membuat penafian dengan mengatakan tidak pernah mengarahkan mana-mana peguam atau individu menfaikan kes di mahkamah bagi pihaknya.

Memang memeningkan kepala. Pelik, Choo Seng mendakwa dia mewakili Chee Liam dan katanya dia ada perjanjian hitam putih untuk uruskan projek berkenaan. Tetapi Chee Hiam menafikannya pula.

Siapa yang betul? Sebenarnya, usah dipeningkan kepala mengenai isu berkenaan kerana ia telah difailkan di mahkamah. Biar mereka yang selesaikannya menerusi prosedur dan cara mereka.

Pokoknya isu ini telah mendedahkan dakwaan kononnya 'orang penting' dalam Pejabat Menteri Besar Kedah ada kepentingan dalam syarikat Metro Sunview Sdn. Bhd. Benarkah dakwaan itu?

Justeru, apa yang penting sebenarnya dalam isu ini-yang mungkin ramai terlepas pandang-ialah kesahihan dakwaan tersebut. Bagi mereka yang yang melihat dengan lebih dalam, mesti tertanya-tanya kenapa 'orang' kerajaan Kedah yang mendapat tender itu.

Adakah mereka sememangnya layak mendapatkan tender pembalakan di LOT 1771 itu? Jika mereka memang layak dapat, kes ini boleh dianggap selesai. Usah diburukkan lagi imej kerajaan negeri pimpinan Pesuruhjaya Pas Kedah, Datuk Seri Azizan Abdul Razak.

Tetapi jika sebaliknya, apa sebenar yang berlaku di belakang isu tersebut? Kenapa mereka yang mendapat tender? Benarkah tiga pegawai kanan Pejabat Menteri Besar dan GLC Kedah itu mempunyai kepentingan dalam Metro Sunview Sdn. Bhd.? Teluskah cara mereka mendapatkan tender balak berkenaan?

Perkara ini tidak boleh dibiarkan tergantung kerana dakwaan telah berlegar-legar. Ia memerlukan penjelasan supaya orang ramai tidak membuat tanggapan yang salah. Hanya pihak yang dituduh boleh menjelaskan segalanya.

Perkara inilah yang sepatutnya diberi tumpuan, bukan kes yang sudah difailkan di mahkamah berkenaan. Soal intergreti dan ketelusan yang menjadi pertaruhan dalam isu ini.

Jadi tampillah memberi penjelasan kerana berani kerana benar. Biar rakyat yang membuat penilaian!

30 July 2009

Tendang bola atas perahu

KETIKA ini peminat sukan bola sepak semestinya sedang heboh memperkatakan atau menjadi pemerhati secara dekat mengenai perpindahan pemain melibatkan kelab-kelab terkemuka dunia.

Manchester United (MU) yang menjual Cristiano Ronaldo ke Real Madril dengan jumlah perpindahan yang sukar diterima akal sedang mengasah pemain barunya, Michael Owen yang menunjukkan aksi memberangsangkan dalam siri jelajah Asia. Malah seorang lagi pemain barunya, Antonio Valencia turut mempamerkan aksi bertenaga dalam perlawanan sulungya pada kejohanan bola sepak persahabatan Piala Audi Munich, Jerman.

Musim baru liga bola sepak Eropah amat dinanti. Dalam Liga Perdana Inggeris peminat mahu melihat sama ada MU yang kehilangan Ronaldo dapat mempertahankan kejuaraan liga yang dirangkul mereka musim ini. Begitu juga dengan prestasi Chelsea dan Liverpool, dapatkah dua pasukan ini memberi cabaran di Eropah? Tidak ketinggalan Manchester City yang berbelanja sakan membawa masuk Carlos Tevez, Emmanuel Adebayor, Gareth Barry dan Roque Santa Cruz.

La Liga di Sepanyol - Adakah Real Madrid akan berjaya membentuk generasi baru 'galaticos' sebagai pasukan digeruni dengan pembelian antaranya Ronaldo, Kaka dan Karem Benzema bagi mencabar Barcelona yang memiliki Lionel Messi dan pendatang baru Zlatan Imbrahimovic.

Aksi di Serie A, Itali - liga yang tidak berbelanja besar untuk menukar pemain pada musim baru- turut dinanti bagi melihat AC Milan yang kehilangan Kaka bergelut dengan Inter Milan yang mendapat khidmat Samuel Eto'o sebagai dua pasukan yang sentiasa diminati dalam liga tersebut.

Itu di Eropah. Bagaimana pula Liga Malaysia? Berapa ramaikah pemainnya dipancing oleh kelab dari luar Tanah Melayu ini?

Jawapan sudah diketahui sejak dari dulu. Bukan sahaja negara berjiran seperti di Singapura, bahkan di Indonesia pun tiada yang berminat untuk mendapatkan khidmat pemain negara ini. Jarang sangat dapat melihat warga Malaysia beraksi di negara lain. Memang mengecewakan.

Lain pula Indonesia, sekurang-kurangnya Bambang Pamungkas dan Elie Aiboy pernah diimport oleh 'gergasi Lembah Klang'. Kini mereka berdua bakal muncul lagi dalam perlawanan bola sepak Piala Selangor 2009. Maknanya ada juga pemain mereka diimport. Pemain kita hanya megah dalam kandang sendiri.

Ada pemain yang hendak berhijrah dari sebuah negeri ke pasukan di negeri lain pun susah kerana kononnya 'sayang mahu tinggalkan rumah di kampung'. Sifat enggan berhijrah yang masih menebal dalam diri kebanyakkan rakyat negara ini.

Tetapi ramai juga yang berani mencuba nasib bersama pasukan di negeri lain, namun cuma setakat itu sahajalah apa yang terdaya dillakukan. Jauh sekali untuk dipancing oleh pasukan dari luar negara. Kalau ini lagaknya, bila bola sepak tempatan akan maju agak-agaknya?

Itulah nasib pemain bola sepak di bumi bertuah ini. Umpama menendang bola dalam perahu. Perlu berhati-hati kerana bimbang perahu akan terumbang ambing kalau teknik tendangnya tidak dikawal. Terkuat tendang bola pula melantun keluar dari perahu dan dihanyutkan air. Bila sudah hanyut, tiada siapa yang hendak ambil peduli. Cuma kalau ada yang berani akan terjun dapatkan bola itu kembali. Tetapi berapakah ramai yang berani dan berkemampuan berbuat demikian jika tiada dorongan? Fikir-fikirkanlah.

Kenapa perlu tendang bola atas perahu? Tempat lain kan banyak. Sebab itulah sikap orang kita. Suka lakukan sesuatu yang pelik. Kononnya mahu menerokai sesuatu yang baru. Bila sudah mula buat, berhenti setakat jalan. Tidak konsisten dan bersungguh dengan apa yang dilakukan. Orang lain yang ambil alih pula yang berjaya.

Tidak mustahil suatu hari nanti akan ada ada yang memperkenalkan perlawanan bola sepak atas air. Mungkin bukan di atas perahu, tetapi di atas kapal yang lebih besar dan luas binaannya. Contoh paling mudah ialah siapa sangka adik beradik Wright berjaya menerbangkan pesawat pertama pada 1903. Mungkin sebelum itu tiada siapa terbayang manusia akan dapat 'terbang'. Sekalipun perkara itu-yang dianggap mengarut- benar-benar berlaku, ia tidak mungkin akan dilakukan oleh orang kita yang takut untuk mencuba. Lihat sahajalah isu Dasar Pembelajaran dan Pengajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI).

Cuma yang pasti liga bola sepak luar negara tetap menguntungkan. Glory glory Man United!

29 July 2009

Lidah Dalam Gigi

AGAK terkejut apabila menerima panggilan telefon daripada seorang seorang rakan karib dari kampung yang jarang dapat berhubung dengannya.

Kebiasaan setiap kali berhubung kami akan bercakap mengenai kisah rakan-rakan lama. Jarang sekali membicarakan mengenai isu-isu semasa kerana sahabat ini lebih berminat dengan dunianya sendiri yang jauh daripada hiruk pikuk politik dan lain-lain.

Bagaimanapun nada panggilannya pada kali ini berbeza. Entah kenapa dia tiba-tiba meluahkan perasaan mengenai seorang insan yang dihormatinya, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat atau Tok Guru Nik Aziz.

''...... Pergi jahanamlah UMNO.'' Reaksi yang diberikan oleh Tok Guru Nik Aziz ketika diminta menjelaskan lebih mendalam mengenai kerjasama antara kerajaan Kelantan dan Pusat seperti dilaporkan sebuah akhbar kelmarin, menyentap hatinya.

Sebaik membaca laporan itu, sahabat ini mengakui secara tiba-tiba dia teringat kepada bapanya yang merupakan seorang ahli UMNO.

Sepanjang dikenali, bapanya seorang yang baik. Solatnya cukup, pekertinya tinggi dan tuturnya berlapik. Masa malamnya diisi di masjid dan tanggungjawab kepada keluarga tidak diabaikan. Walaupun tidak fanatik tetapi bapanya cukup sayang dengan UMNO. Kepada pemimpin parti itu bapanya pernah mendapatkan bantuan untuk memudahkan persekolahan atau pengajian anak-anaknya termasuk menjadi penjamin pelajaran dan lain-lain. Jika berbicara di kedai kopi, pasti UMNO yang akan dipertahankan seandainya ada pihak cuba memburukkan parti itu.

Bapa mertuanya pula seorang ahli Pas. Agak agresif dengan parti itu dan dia pernah memberitahu melihat poster Tok Guru Nik Aziz yang sedang menadah doa terpampang di rumah mentuanya itu.

Mempunyai seorang bapa yang berpegang kepada prinsip perjuangan UMNO dan mentua yang merupakan penyokong kuat Pas membuatkan sahabat ini lebih bersikap berkecuali. Dia tidak terlalu fanatik untuk menyokong UMNO mahupun Pas apatah lagi Parti Keadilan Rakyat (PKR). Baginya, pemimpin UMNO perlu disangjungi dan pemimpin Pas pula dihormati.

Perlakuan Tok Guru Nik Aziz mengenai UMNO sejak kebelakangan ini mula mengikis rasa hormatnya kepada Pas.

Baginya, hina sangatkah pemimpin UMNO yang pernah membantu adik beradiknya melanjutkan pelajaran dan mendapat kehidupan yang lebih baik sehingga dihambur sedemikian rupa oleh seorang pemimpin yang bertaraf ulama?

Tiada sisi muliakah di dalam UMNO yang menjadi tunjang kepada Barisan Nasional (BN) memerintah negara ini sejak lebih 50 tahun lalu?

Perlukah menghamburkan kata-kata 'pergi jahanam' kepada parti yang tidak boleh tidak dinafikan sumbangannya kepada rakyat negara ini?

Ini lebih-lebih lagi kata-kata seumpama itu terbit dari mulut seorang pemimpin yang dipanggil 'Tok Guru'.

Pada saat sahabat ini mengakui memang UMNO juga tidak sempurna, penuh dengan budaya 'hulur duit' namun jauh di sudut hatinya mendoakan agar UMNO-Pas bersatu.

Biar dua parti terbesar orang Melayu ini bersatu. Tiada lagi caci mencaci antara mereka kerana kedua-dua ahlinya tetap beragama Islam.

Ketepikan soal kepentingan politik demi kesejahteraan semua. Ketepikan individu yang bermati-matian menyokong sesebuah parti kerana mungkin di belakang mereka ada kepentingan. Mungkin ada dendam dan mungkin ada perselisihan yang disimpan di dalam hati sehingga sanggup melihat musuhnya hancur.

Gesaan seumpama ini telah banyak kali dibuat namun sehingga kini sekilas cahayanya masih belum kelihatan biarpun pernah ada harapan.


Harapan sahabat ini mungkin tidak mewakili suara orang Melayu keseluruhannya, namun ia menggambarkan sekurang-kurangnya ada atau mungkin ramai kaum yang makan ubi kayu itu ingin melihat penyatuan UMNO-Pas.

Cuma harus diingat, orang politik tetap main politik!

28 July 2009

Rawai dan Pak Belang

MUNGKIN sudah agak terlewat untuk menjadi seorang blogger ketika sudah ramai yang memiliki laman blog mereka sendiri sejak bertahun-tahun lalu.

Namun mungkin masih belum terlalu lambat untuk turut sama menjadi sebahagian daripada kelompok blogger yang semakin hari semakin ramai komunitinya.

Blog ini hanya sekadar 'diari' untuk mencatatkan pandangan peribadi terhadap apa juga perkara di dalam lingkungan idea sendiri.
Sebagai salam pembukaan, molek seandainya tidak ditulis terlalu panjang. Cukup sekadar menerangkan maksud perkataan 'rawai' yang dijadikan pembuka nama blog ini.

'Rawai' - Menurut Kamus Dewan Edisi Empat ia membawa maksud sejenis alat untuk menangkap ikan yang terdiri daripada beberapa bentuk kail yang digantungkan pada tali atau rotan yang terentang.

Pernah dikisahkan sebuah kawasan di Terengganu telah mengambil sempena nama alat berkenaan sebagai nama kampung tersebut. Dikisahkan umpan yang disangkut pada rawai yang digunakan penduduk untuk menangkap ikan di situ telah ditelan seekor harimau.

Raja rimba yang sebelum itu menjadi igauan kepada penduduk setempat kemudian ditemui mati di suatu simpang berhampiran kawasan lapang gara-gara tertelan alat berkenaan.

Dalam erti kata lain, kisah ini menggambarkan sesuatu mampu berlaku di luar keupayaan atau kemahuan kita. Tidak semua yang dirancang akan berjalan seperti direncanakan. Ingin menangkap ikan, harimau pula yang terjerat. Siapa sangka, alat sekecil rawai mampu menumbangkan seekor raja rimba.

Begitu juga dengan kes mendiang Teoh Beng Hock. Setiausaha Politik Exco Selangor itu dipanggil Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sebagai saksi berhubung dakwaan penyalahgunaan wang kerajaan negeri melibatkan Exco dan Ahi Dewan Undangan Negeri (ADUN) Selangor, tetapi mayatnya pula ditemui 10 jam selepas itu.

Lain yang dirancang lain pula yang berlaku. Tetapi mungkin kematiannya akan membawa kepada satu pendedahan besar sama ada menentang atau menyokong mana-mana pihak: kerajaan atau pembangkang.

Apapun inkues mengenai kematiannya akan berlangsung esok. Sama ada akan terbongkar segala rahsia atau kematian Beng Hock hanya satu kes kematian mengejut (SDR) seperti siasatan awal polis kerana memang tiada sebarang perkara terselindung dalam kematiannya.

Serahkan kepada pihak berkuasa mencari dan mendedahkan punca sebenar kejadian. Jangan buat persepsi sendiri, fitnah dan lebih-lebih lagi bertindak mengunakan 'undang-undang rimba'.

Tunggu dan lihat!