15 October 2009

Lunas yang munasabah

SETELAH sunyi seketika mengenai kisah Ahli Dewan Undangan Negeri Lunas (ADUN), Mohd. Radzhi Salleh yang sebelum ini mencetuskan isu hangat dengan keluar daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan mengisytiharkan menjadi wakil rakyat Bebas, hari ini ceritanya timbul kembali.

Kali ini, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memaklumkan telah menutup siasatan ke atasnya berhubung dakwaan beliau membuat tuntutan tidak munasabah ketika memegang jawatan Exco kerajaan negeri.

Timbalan pendakwa raya SPRM memutuskan tiada kesalahan dilakukan oleh bekas Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Pembangunan Masyarakat dan Sumber Tenaga Manusia negeri itu setelah meneliti hasil siasatan berhubung dakwaan berkenaan.

Menyingkap kisah pada penghujung bulan Ogos lalu, sejurus selepas mengisytiharkan dirinya sebagai wakil rakyat Bebas, Mohd. Radzhi 'dihentam' teruk oleh bekas partinya mengatakan kononnya prestasi ADUN Lunas itu dalam kerajaan negeri lemah dan mengecewakan parti.

Berikut ialah antara petikan kenyataan akhbar Pejabat Perhubungan PKR Negeri Kedah pada 23 Ogos lepas selepas menerima maklum pengumuman Mohd. Radzhi mengisytiharkan dirinya keluar parti dan menjadi ADUN Bebas.

''Prestasi lemah beliau dalam kerajaan negeri juga amat mengecewakan pimpinan parti, ini termasuklah tuntutan beliau yang tidak munasabah, dah masalah perkahwinannya kali keempat di Thailand yang kini sedang dalam proses mahkamah..

Kami juga telah memberi amaran keras kepada beliau untuk membuat perubahan prestasi kerja beliau dan khidmatnya di kawasan, namun beliau tidak bersedia untuk melakukan perubahan membuatkan ia mengisytiharkan keluar daripada parti hari ini.''

Mohd. Radzhi seolah-olah telah dihukum dan dianggap bersalah meskipun kesnya yang melibatkan membuat tuntutan tidak munasabah masih dalam siasatan pada masa itu, hanya kerana beliau ingin menjadi wakil rakyat Bebas.

Begitu mudah tuduhan dilemparkan kepadanya, namun pengumuman SPRM hari ini telah membersihkannya daripada tuduhan berkenaan (tuntutan tidak munasabah).

Ini bermakna Mohd. Radzhi tidak lemah dan tidak mengecewakan. Dakwaan yang mengatakan kononnya beliau membuat tuntutan tidak munasabah hanya sekadar untuk 'merendahkan' kredibilitinya selepas keluar daripada PKR.

Perkembangan terbaru ADUN Lunas ini sepatutnya dapat membuka mata banyak pihak mengenai.........?


HAPPY DEEPAVALI

01 October 2009

Bola sepak Kedah yang tenat

TEMPOH tiga tahun lalu menyaksikan kebangkitan bola sepak negeri Kedah. Bermula selaku juara Liga Perdana pada Musim 2005/2006, skuad Hijau Kuning mencipta sejarah apabila muncul juara treble berganda pada dua musim berikutnya.

Diakui saya bukan penyokong pasukan Kedah tetapi meminati Hijau Kuning selepas mengikuti secara dekat perkembangan skuad negeri jelapang padi itu.

Saya juga secara rapat mengikuti proses keluar masuk pemain dan menjadi antara saksi yang melihat pasukan itu merangkul kejuaraan secara langsung di hadapan mata.

Entah apa yang berlaku, musim Liga Malaysia 2009 secara tiba-tiba tidak lagi memihak kepada Sang Kenari. Selepas gagal mempertahankan trofi Liga Super, skuad bimbingan Mohd. Azraai Khor Abdullah itu kini dilihat makin tenat untuk melangkah jauh dalam saingan Piala Malaysia.

Pada mulanya, saya berfikir secara logik bahawa mustahil untuk sesebuah pasukan bola sepak itu mampu mempertahankan kejuaraan secara konsisten bak kata orang 'bola itu bulat', maka apa sahaja boleh berlaku.

Saya juga cuba bersikap logik dengan melihat kepada faktor ketiadaan gandingan tiga pemain import- Bernard Hugging, Nelson Sam Martin dan Marlon Alex James- telah menjejaskan persembahan Hijau Kuning.

Namun apabila kempen Piala Malaysia bermula kira-kira seminggu lalu, saya dapat melihat lebih jauh apa berlaku kepada gergasi Utara itu.

Difahamkan wujud masalah dalaman menyebabkan pasukan itu kini terdesak untuk mempamerkan prestasi terbaiknya.

Menerusi sumber yang rapat, sikap sambil lewa Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) dalam mencari pemain pijaman terutama di posisi penyerang menyebabkan kuota tiga pemain yang dibenarkan gagal diisi.

Saya difahamkan penyerang T-Team, Mohd. Haris Safuan yang juga merupakan penjaring terbanyak Liga Perdana telah menawarkan diri untuk beraksi bersama Kedah namun tiada susulan serius daripada KFA menyebabkan pemain itu terlepas ke tangan KL PLUS.

Politik dikatakan mempengaruhi bola sepak Kedah pada masa ini sehingga menimbulkan rasa tidak puas di kalangan orang-orang penting pasukan yang membentuk skuad Kedah selama ini.

Sikap tidak profesional pengurusan juga dikatakan menjadi faktor kepada kemerosotan prestasi Hijau Kuning.

Akibat kemerosotan prestasi juga menyebabkan jumlah jualan tiket perlawanan di Stadium Darul Aman turun mendadak yang sekali gus menjejaskan kantung KFA.

Sejauh mana kebenaran dakwaan itu tidak dapat dipastikan tetapi logik akal untuk diakui bahawa wujud masalah dalam persatuan bola sepak berkenaan.

Sebagai peminat meskipun bukan seorang penyokong, saya kecewa kerana melihat usaha memartabatkan bola sepak Kedah yang berjaya dilakukan sejak tiga musim lalu boleh musnah gara-gara masalah dalaman dan politik seandainya benar seperi yang dikhabarkan.

PULUN KEDAH PULUN!

26 September 2009

Aidiladha yang dinanti

SALAM Syawal..

Ketika ini kemeriahan sambutan kedatangan bulan Syawal atau kata orang negara ini 'bulan raya' masih terasa.

Seperti kebanyakan masyarakat Islam lain, penulis turut pulang beraya di kampung pada 19 September lalu. Sebelum pulang, saya memastikan semua sampah di dalam rumah dimasukkan ke dalam plastik.

Dua plastik penuh kesemuanya sampah dikumpul yang diletakkan di luar rumah dengan harapan ia akan dikutip.

Selepas seminggu beraya di kampung, saya kembali semula ke Alor Setar dan tiba malam tadi, kira-kira pukul 12 malam.

Ketika ingin membuka pintu pagar, saya melihat plastik sampah yang telah seminggu saya tinggalkan belum dikutip!

Tiada apa yang mengejutkan kerana itulah masalah di bandar raya ini sejak bertahun-tahun lalu. Berubah pentadbiran kerajaan negeri pun masalah sama masih berulang. Ia bukan satu perkara baru.

Saya pernah menulis mengenai masalah sampah ini pada 5 Ogos lalu (lihat di bawah tajuk 'udang di sebalik batu').

Dua hari lalu mata saya tertarik membaca satu kolum di dalam akhbar Utusan Malaysia yang menyentuh mengenai masalah sampah di bandar raya ini.

Seorang kolumnis di dalam ruangan 'Cuit' menulis mengenainya dengan menggunakan tajuk 'Berhari raya di Alor Setar, bandar raya sampah'.

Susulan tulisannya itu, Menteri Besar Kedah dalam akhbar yang sama memberikan reaksi dengan dilaporkan mengakui malu dengan masalah berkenaan.

Azizan juga dilaporkan berkata: ''Saya beri jaminan Hari Raya Aidil Adha pada bulan November ini, tiada lagi masalah sampah yang menganggu penduduk.''

Kenyataannya itu bagi saya amat menarik kerana sejak sekian lama, masalah sampah di negeri ini sukar diatasi. Tetapi beliau berjanji dalam masa sebulan ia dapat ditangani. Adakah janji ini akan dikota?

Penulis memang tidak sabar lagi menanti kedatangan Adil Adha. Bukan sahaja akan dapat banyak daging korban, tetapi menanti sama ada benarkah masalah sampah di bandar raya negeri jelapang padi ini akan diatasi pada sambutan perayaan itu kelak.

Tunggu dan lihat!

26 August 2009

Kelabu di Siputeh

''Bukan yang bermakna puasa itu sekadar menahan makan, minum tetapi puasa yang sungguh itu menahan diri daripada lagha (perkataan tidak berguna) dan kata-kata yang keji'' - Riwayat Muslim.

SEMENTARA sabar menunggu ketibaan 1 Syawal, rakyat negara ini amnya dan di Kedah khususnya turut menantikan keputusan yang melibatkan kedudukan dua wakil rakyat di negeri Jelapang Padi.

Pertama mengenai status jawatan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lunas, Mohd. Radzhi Salleh sebagai Exco kerajaan negeri yang akan diputuskan oleh Sultan Kedah pada bila-bila masa.

Penantian kedua pula mengenai kedudukan ADUN Kota Siputeh, Datuk Abu Hasan Sarif sama ada akan digugurkan daripada jawatannya kerana didakwa gagal hadir persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) sebanyak dua kali berturut-turut tanpa kebenaran Speaker.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dijangka mengumumkan mengenai perkara berkenaan minggu depan.

Isu Abu Hasan dilihat lebih rumit kerana pihak-pihak di belakang kejadian itu dikatakan mempunyai persiapan rapi untuk berdepan dengan sebarang kemungkinan keputusan SPR. Ini bermakna, apapun keputusan suruhanjaya itu kelak, isu berkenaan akan tetap berlarutan.

RAMALAN 1 - Jika SPR mengumumkan kerusi Kota Siputeh Kosong.

Jika keputusan ini yang dibuat, maka mahu atau tidak pilihan raya kecil akan diadakan di kawasan berkenaan. Meskipun penyandangnya daripada calon Barisan nasional (BN), tetapi saingan di DUN berkenaan dijangka sengit berikutan majoriti kecil (495 undi) yang diperoleh Abu Hasan pada pilhan raya umum lalu.

Keadaan ini turut didorong dengan situasi di mana kerajaan negeri kini dipimpin oleh pakatan pembangkang yang menjadikan saingan lebih terbuka.

Peluang kedua-dua pihak, BN atau pakatan pembangkang diramalkan seimbang. Namun kehadiran Datuk Mukhriz Mahathir sebagai Ahli Parlimen Jerlun di situ dilihat memberi sedikit kelebihan kepada BN.

RAMALAN 2 - Jika SPR mengekalkan Abu Hasan sebagai ADUN Kota Siputeh.

Pakatan pembangkang mungkin akan memanjangkan isu ini dengan mengemukakan 'modal-modal' baru yang akan didakwa mereka sahih termasuk salinan surat sijil sakit yang diperoleh Abu Hasan. Surat sakit itu mungkin akan dipertikaikan.

Mereka mungkin akan menjadikannya sebagai 'bukti' untuk mendesak SPR menimbangkan semula keputusannya. Jika ditolak, semua modal yang mereka ada itu akan dijadikan sebagai kempen menguatkan pengaruh mereka di Kedah.

RAMALAN 3 - Jika SPR mengekallkan Abu Hasan sebagai ADUN Kota Siputeh.

Selain cara di atas, Speaker DUN juga dikatakan boleh menggunakan kuasanya dengan menggantung tugas Abu Hasan nmengikut peruntukan yang termaktub dalam Undang-Undang Tubuh Negeri.

Jika pendekatan ini diambil, Abu Hasan mungkin akan kehilangan elaun sebagai wakil rakyat sementara menunggu penggantungannya tamat.

Melihat kepada ramalan-ramalan ini, kisah di Kota Siputeh masih panjang, tetapi ia akan selesai secara berperingkat selepas beberapa ketika.

Cuma kerana berpolitik, pengundi di DUN berkenaan yang menjadi mangsa.

25 August 2009

MUKA BARU ATAU RADZHI?

KETIKA umat Islam di negara ini disajikan dengan pelbagai juadah menarik untuk berbuka puasa, rakyat negeri Kedah mendapat 'tambahan sajian' apabila dihidangkan dengan isu politik yang hangat diperkatakan.

Tidak cukup dengan isu Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Siputeh, Datuk Abu Hasan Sarif berdepan kemungkinan digugurkan jawatan yang disandangnya ekoran tidak hadir Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) dua kali berturut-turut tanpa kebenaran Speaker, masyarakat Jelapang Padi dikejutkan pula dengan tindakan ADUN Lunas daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR) keluar parti dan mengisytiharkan menjadi wakil rakyat bebas.

Isu mengenai ADUN Kota Siputeh amat menarik diikuti kerana dalam sejarah negara, ia mungkin kes seumpama itu pertama kali ditimbulkan yang mampu membuka laluan kepada pilihan raya kecil jika keputusan Speaker DUN, Datuk Dr. Isa Ismail diterima Surahanjaya Pilihan Raya (SPR).

Tatkala orang ramai masih ternanti-nanti pengumuman SPR, isu berkenaan seolah-olah tenggelam apabila penantian itu beralih pula kepada status ADUN Lunas sebagai Exco Kerajaan Kedah.

Rakyat Kedah pada masa ini tertanya-tanya apakah nasib Mohd. Radzhi sama ada kekal sebagai Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Pembangunan Masyarakat dan Sumber Tenaga Kedah atau sebaliknya.

Sekiranya diikutkan kenyataan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Azizan Abdul Razak, porfolio yang disandang Mohd. Radzhi itu merupakan kuota bagi wakil rakyat PKR. Justeru, jika penyandangnya bukan lagi ADUN PKR, maka ia wajar dikosongkan untuk diisi oleh wakil rakyat daripada parti berkenaan.

Mengambil kira kenyataan Azizan itu, hanya dua wakil rakyat PKR di Kedah yang masih belum memegang jawatan Exco iaitu ADUN Sidam, Tan Show Kang dan ADUM Kulim, Lim Soo Nee yang pernah 'mempariakan' kerajaan Barisan Nasional (BN) Kedah terdahulu dalam sidang DUN 9 Ogos lalu.

Dua lagi wakil rakyat PKR iaitu ADUN Bukit Selambau, S. Manikumar dan ADUN Bakar Arang, Tan Wei Shu masing-masing telah mempunyai jawatan sebagai Exco Kedah.

Bagaimanapun keputusan akhir terletak di tangan Sultan Kedah. Baginda yang berkenan membuat pelantikan, maka baginda juga yang berkuasa melucutkan jawatan.

Rata-rata menjangkakan Mohd. Radhzi akan dilucutkan daripada jawatannya yang disandangnya itu. Bagaimana pula jika sebaliknya yang berlaku?
Kemungkinan itu tidak boleh ditolak kerana tiada apa yang mustahil dalam politik. Lihat sahaja isu ADUN Kota Siputeh. Tidak pernah ada dalam sejarah negara seorang wakil rakyat mungkin digugurkan daripada jawatan hanya kerana tidak hadir sidang dun dua kali berturut-turut. Itupun Abu Hasan telah mengemukan surat cuti sakit.

Mengikut sumber yang mempunyai maklumat yang agak kuat, kemungkinan wakil rakyat PKR tidak lagi memegang portfolio berkenaan boleh berlaku kerana ada ura-ura mengatakan jawatan tersebut perlu disandang oleh wakil rakyat Melayu.
Jika diambil kira ura-ura berkenaan, maka PKR tidak boleh mencadangkan nama wakil rakyat mereka. Apa akan terjadi jika ramalan ini benar-benar berlaku? Tunggu dan lihat!

24 August 2009

POLITIK DI LUNAS

Salam Ramadan....
KHABAR angin mengenai akan ada wakil rakyat sama ada daripada Barisan Nasional (BN) atau pakatan pembangkang di Kedah lompat parti telah bertiup sejak Mei 2008 lagi. Ketika itu kedua-dua belah pihak, BN mahupun kerajaan pakatan pembangkang bijak bermain psikologi mengenai isu tersebut.

Sama ada pemimpin BN atau pakatan pembangkang ketika diajukan soalan mengenai khabar angin berkenaan begitu pandai memberikan jawapan: ''Lompat parti? Jangan dengar sebelah pihak, mungkin 'orang sebelah' sana pun hendak lompat ke sini.''

Khabar angin mengenai isu lompat parti di negeri ini semakin bertiup kencang menjelang persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah. Terbaru, sehari sebelum persidangan DUN pada 9 Ogos lalu, kerajaan negeri dikhabarkan ingin membuat sidang akhbar mengenai perkara berkenaan bagi menafikan akan ada wakil rakyatnya lompat parti.

Tidak diketahui kenapa sebabnya, sidang akhbar itu dibatalkan pada saat-saat akhir dan diganti dengan sidang akhbar Azizan selepas persidangan DUN berkenaan.

Jika dahulu pakatan pembangkang turut bermain psikologi mengenai perkara tersebut, namun sejak akhir-akhir ini mereka mengambil pendekatan berbeza.
Sepanjang isu itu diperkatakan, BN menjadi mangsa tuduhan sebagai dalang kepada tindakan menarik wakil rakyat pembangkang lompat parti bagi menggulingkan kerajaan negeri sekarang. Bagaimanapun BN menafikan perkara tersebut dengan mengatakan tidak berminat dan mahu menawan kembali negeri ini secara bermaruah.

Semalam, kerajaan pakatan pembangkang Kedah dikejutkan dengan pengumuman Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lunas, Mohd. Radzhi Salleh keluar daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Dalam pengumumannya di Kuala Lumpur, Mohd. Radzhi bagaimanapun tidak melepaskan jawatan sebagai Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Pembangunan Masyarakat dan Sumber Tenaga Manusia Kedah.

Seperti diduga, pakatan pembangkang mendakwa BN terlibat dalam tindakan ADUN Lunas itu. Serentak dengan itu, Mohd. Radzhi diserang oleh blog pro pembangkang malah dituduh oleh pemimpin sebagai seorang yang lemah dan bermasalah.

Persoalannya kenapa sekarang baru menimbulkan ADUN Lunas itu bermasalah dan lemah di kawasan dan dalam jawatan Exco yang disandangnya itu?

Malah dalam satu laman blog pro pembangkang menyebut ''Dia ada beberapa bidang tanah di Langkawi yang dibeli semasa menjadi Exco, dia ada kilang mencetak pakaian di Napoh, dia ada restoran di Shahab Perdana, dia ada beberapa isteri yang telah dikahwininya, salah seorang semasa menjadi Exco, tetapi sudah diceraikannya. Dia dapat banyak juga dah pun.. kalau itu yang dia cari... (kedahlanie.blogspot.com).'

Kenapa sewaktu YB Radzhi masih di dalam PKR, segala perbuatanya yang kononnya dilakukan olehnya tidak didedahkan? Media yang cuba merisik pada masa itu juga dihampakan dengan jawapan-jawapan yang 'membela' ADUN Lunas itu.
Sekalipun benar dakwaan Mohd. Radzhi dikesan bermasalah sejak awal lagi, kenapa kerajaan negeri melantik semula beliau sebagai Exco pada 3 mac lalu selepas setahun menjalankan tugas.
Namun kenapa bila sebaik dia keluar daripada PKR bertalu-talu cemuhan diterimanya. Apa akan jadi jika dia masih wakil rakyat PKR?

Jawapannya cukup mudah, imej ADUN Lunas itu perlu dijaga kerana dia Exco kerajaan negeri dan anggota pakatan pembangkang Kedah.

Biar benarpun dakwaan yang ditujukan kepada Mohd. Radzhi, ia perlu disembunyi bagi menjaga imej kerajaan pakatan pembangkang.
Inilah sebenarnya dunia politik.

Dalam Mohd. Radzhi dituduh macam-macam, sebagai manusia yang waras, kita perlu menilai alasan yang dikemukakannya untuk keluar daripada PKR. Cerita mengenai beliau tidak puas hati dengan PKR yang didakwanya lari daripada landasan perjuangan sebenar sudah lama kedengaran.

Bukan mudah bagi seorang wakil rakyat membuat keputusan yang berisiko tinggi seperti diambil Mohd. Radzhi jika partinya pandai menjaga kebajikannya. Jika PKR dapat menjaganya dengan elok, mustahil untuk beliau meninggalkan parti itu walaupun mungkin benar dakwaan dia bermasalah.
Kata orang, kalau tiada angin, masakan pokok akan bergoyang. Kalau PKR tiada masalah, takkan wakil rakyatnya keluar parti. Politik tetap politik tanpa mengira sesiapa, itu yang pasti!!
POLITIK DI LUNAS (II)
PADA 9 Ogos lalu, Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Azizan Abdul Razak mengadakan sidang akhbar sejurus selepas persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah. Antara soalan yang diajukan kepada beliau ialah mengenai khabar angin kononnya tindakan lompat parti wakil rakyat di negeri itu.

Berikut ialah sebahagian jawapan yang diberikan oleh beliau:-

Mengulas mengenai khabar angin kononnya ada beberapa wakil rakyat di negeri ini akan lompat parti untuk menyertai Barisan Nasional (BN), Azizan berkata, sekalipun perkara itu benar-benar berlaku, beliau yakin jumlah yang akan melompat itu tidak cukup untuk menumbangkan kerajaan negeri sekarang.

Beliau yang mengakui ada mendengar khabar angin tersebut khususnya menjelang persidangan DUN bagaimanapun berkata, pihaknya sudah bersedia untuk menghadapi sebarang masalah yang akan timbul.

Katanya, beliau juga percaya Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak tidak merestui tindakan lompat parti di negeri ini kerana ia bercanggah dengan dasar beliau yang mahu mengamalkan iaitu ketelusan dalam pentabiran. Kerajaan pakatan pembangkang di Kedah terdiri daripada 16 wakil rakyat Pas, lima daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan satu DAP.
POLITIK DI LUNAS (III)
BAGI mengelakkan Barisan Nasional (BN) daripada terus 'dikambinghitamkan' mengenai isu lompat parti, Timbalan Pengerusi BN negeri, Datuk Ahmad Bashah Md. Hanipah membuat kenyataan agar oarang ramai tidak tersalah tafsir berhubung perkara yang heboh diperkatakan itu.

Berikut ialah kenyataan Ahmad Bashah pada 10 Ogos lalu:-

Rakyat negeri ini diminta tidak terpengaruh dengan dakyah sesetengah pihak kononnya BN Kedah menjadi dalang kepada isu lompat parti yang hangat diperkatakan di negeri ini.

Ahmad Bashah berkata, prasangka buruk terhadap parti itu berhubung isu berkenaan perlu dibuang kerana BN negeri tidak mempunyai sebarang kaitan mengenainya.

Tegas beliau, BN negeri tidak berminat untuk 'mengumpan' anggota pakatan pembangkang lompat parti memandangkan parti itu mempunyai strategi sendiri untuk menawan kembali Kedah menerusi pilihan raya umum akan datang.

''Bukan cara BN Kedah mengumpan wakil rakyat kerajaan negeri untuk lompat parti. Jika benar ada yang mahu lompat parti, itu hak masing-masing tetapi jangan sesekali mengaitkan BN sebagai dalangnya,'' katanya.

Ahmad Bashah berkata, tumpuan BN negeri ialah kepada usaha merampas semula Kedah daripada pakatan pembangkang pada Pilihan Raya Umum Ke-13, justeru tidak timbul parti itu terlibat dengan isu lompat parti.

Katanya, BN Kedah berazam untuk memenangi pilihan raya umum itu dengan bergaya, sebagaimana dikehendaki oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan bukannya menang dengan keputusan yang diibaratkan sebagai 'sipi-sipi' sahaja.

12 August 2009

Mengingati 500

500 hari ini bukan satu tempoh yang singkat. Bagi sebuah kerajaan yang baru dibentuk, tempoh itu sudah dikira matang. Sudah tahu hala tuju atau selok belok pentadbiran.

Bagi Kedah, Selangor dan Pulau Pinang, kerajaan negeri yang dibentuk oleh pakatan pembangkang akan mencecah usia 500 hari beberapa hari lagi.

Dengan mengambil kira perkembangan lanskap politik di tiga buah negeri itu sejak Pilihan Raya Umum Ke-12 pada 8 Mac 2008, pimpinan Datuk Seri Azizan Abdul Razak di Kedah dilihat lebih selesa berbanding Selangor dan Pulau Pinang.

Dalam keselesaan Azizan mentadbir dan kurangnya serangan-serangan 'keras' terhadap pemerintahan beliau, kalangan penduduk di negeri itu jangan lupa atau buat-buat lupa mengenai manifesto Pas Kedah.

Sempena 500 hari pemerintahan pakatan pembangkang yang diterajui oleh Pas di Kedah, di bawah ini merupakan antara janji-janji yag terkandung dalam manifesto tersebut untuk ingatan bersama.

Kata orang, manusia berpegang pada janji. Jadi sama ada penyokong Pas atau sebaliknya, janji-janji yang ditabur kepada rakyat ini perlu dilaksanakan untuk membuktikan kewibawaannya.

* Menggubal, meminda dan melaksanakan undang-undang Islam

* Memberi subsidi air untuk masjid dan rumah kebajikan yang berdaftar

* Memberi bantuan kewangan untuk pengurusan pengkebumian warga emas
*Memberi cuti bersalin selama tiga bulan: Satu bulan sebelum dan dua bulan selepas melahirkan anak bagi kakitangan wanita dalam perkhidmatan kerajaan tanpa mengehadkan bilangan anak

* Menyediakan pusat penjagaan kanak-kanak di tempat kerja serta menggalakkan pihak swasta mengadakan kemudahan yang sama

* Cuti ehsan 14 hari bagi mereka yang kematian pasangan

* Mewujudkan persekitaran yang bersih dan sihat dengan meningkatkan kecekapan perkhidmatan pelupusan sisa pepejal dan sistem saliran serta longkang
* Memperbanyak kemudahan meletak kenderaan di bandar-bandar utama
Secara keseluruhannya manifesto Pas Kedah terdiri daripada 15 perkara pokok, yang mana setiap perkara pokok itu mempunyai antara lima hingga 12 'sub items'. Yang tertulis di atas hanya sebilangan daripada perkara yang dijanjikan.

Sebagai rakyat yang tinggal di negeri Kedah, mereka pastinya tahu sejauh mana manifesto itu telah disempurkan. Alasan ia perlu memakan masa tidak lagi boleh diterima pakai kerana kini telah 500 hari pentadbiran Azizan dan barisan Exconya.

Justeru, rakyat mampu menilai sendiri dan berhak menghukum kerajaan negeri jika mereka sekadar bermain janji kosong kerana di dalam penutup manifesto berkenaan telah tertulis:-

'Demikianlah pakej tawaran ini kami bentangkan untuk anda. Agenda yang terkandung adalah komitmen bertulis kami tanpa sebarang syarat tersembunyi. Kami berjanji tidak akan berdalih atau mencari alasan atau mengkambing hitamkan pihak lain jika rakyat menghukum kami kerana mengkhianati mandat serta amanah yang mereka berikan berdasarkan pakej tawaran ini. Semoga anda bersama rakan-rakan kami untuk menuju Kedah harapan demi nikmat untuk semua.'