01 October 2009

Bola sepak Kedah yang tenat

TEMPOH tiga tahun lalu menyaksikan kebangkitan bola sepak negeri Kedah. Bermula selaku juara Liga Perdana pada Musim 2005/2006, skuad Hijau Kuning mencipta sejarah apabila muncul juara treble berganda pada dua musim berikutnya.

Diakui saya bukan penyokong pasukan Kedah tetapi meminati Hijau Kuning selepas mengikuti secara dekat perkembangan skuad negeri jelapang padi itu.

Saya juga secara rapat mengikuti proses keluar masuk pemain dan menjadi antara saksi yang melihat pasukan itu merangkul kejuaraan secara langsung di hadapan mata.

Entah apa yang berlaku, musim Liga Malaysia 2009 secara tiba-tiba tidak lagi memihak kepada Sang Kenari. Selepas gagal mempertahankan trofi Liga Super, skuad bimbingan Mohd. Azraai Khor Abdullah itu kini dilihat makin tenat untuk melangkah jauh dalam saingan Piala Malaysia.

Pada mulanya, saya berfikir secara logik bahawa mustahil untuk sesebuah pasukan bola sepak itu mampu mempertahankan kejuaraan secara konsisten bak kata orang 'bola itu bulat', maka apa sahaja boleh berlaku.

Saya juga cuba bersikap logik dengan melihat kepada faktor ketiadaan gandingan tiga pemain import- Bernard Hugging, Nelson Sam Martin dan Marlon Alex James- telah menjejaskan persembahan Hijau Kuning.

Namun apabila kempen Piala Malaysia bermula kira-kira seminggu lalu, saya dapat melihat lebih jauh apa berlaku kepada gergasi Utara itu.

Difahamkan wujud masalah dalaman menyebabkan pasukan itu kini terdesak untuk mempamerkan prestasi terbaiknya.

Menerusi sumber yang rapat, sikap sambil lewa Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) dalam mencari pemain pijaman terutama di posisi penyerang menyebabkan kuota tiga pemain yang dibenarkan gagal diisi.

Saya difahamkan penyerang T-Team, Mohd. Haris Safuan yang juga merupakan penjaring terbanyak Liga Perdana telah menawarkan diri untuk beraksi bersama Kedah namun tiada susulan serius daripada KFA menyebabkan pemain itu terlepas ke tangan KL PLUS.

Politik dikatakan mempengaruhi bola sepak Kedah pada masa ini sehingga menimbulkan rasa tidak puas di kalangan orang-orang penting pasukan yang membentuk skuad Kedah selama ini.

Sikap tidak profesional pengurusan juga dikatakan menjadi faktor kepada kemerosotan prestasi Hijau Kuning.

Akibat kemerosotan prestasi juga menyebabkan jumlah jualan tiket perlawanan di Stadium Darul Aman turun mendadak yang sekali gus menjejaskan kantung KFA.

Sejauh mana kebenaran dakwaan itu tidak dapat dipastikan tetapi logik akal untuk diakui bahawa wujud masalah dalam persatuan bola sepak berkenaan.

Sebagai peminat meskipun bukan seorang penyokong, saya kecewa kerana melihat usaha memartabatkan bola sepak Kedah yang berjaya dilakukan sejak tiga musim lalu boleh musnah gara-gara masalah dalaman dan politik seandainya benar seperi yang dikhabarkan.

PULUN KEDAH PULUN!

1 comment:

Anonymous said...

depa tak larat nak main, lembut lutu sebab banyak sangat "main" benda lain.
lagipun depa gila glmaour duk usung pempuan saja.