25 August 2009

MUKA BARU ATAU RADZHI?

KETIKA umat Islam di negara ini disajikan dengan pelbagai juadah menarik untuk berbuka puasa, rakyat negeri Kedah mendapat 'tambahan sajian' apabila dihidangkan dengan isu politik yang hangat diperkatakan.

Tidak cukup dengan isu Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Siputeh, Datuk Abu Hasan Sarif berdepan kemungkinan digugurkan jawatan yang disandangnya ekoran tidak hadir Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) dua kali berturut-turut tanpa kebenaran Speaker, masyarakat Jelapang Padi dikejutkan pula dengan tindakan ADUN Lunas daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR) keluar parti dan mengisytiharkan menjadi wakil rakyat bebas.

Isu mengenai ADUN Kota Siputeh amat menarik diikuti kerana dalam sejarah negara, ia mungkin kes seumpama itu pertama kali ditimbulkan yang mampu membuka laluan kepada pilihan raya kecil jika keputusan Speaker DUN, Datuk Dr. Isa Ismail diterima Surahanjaya Pilihan Raya (SPR).

Tatkala orang ramai masih ternanti-nanti pengumuman SPR, isu berkenaan seolah-olah tenggelam apabila penantian itu beralih pula kepada status ADUN Lunas sebagai Exco Kerajaan Kedah.

Rakyat Kedah pada masa ini tertanya-tanya apakah nasib Mohd. Radzhi sama ada kekal sebagai Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Pembangunan Masyarakat dan Sumber Tenaga Kedah atau sebaliknya.

Sekiranya diikutkan kenyataan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Azizan Abdul Razak, porfolio yang disandang Mohd. Radzhi itu merupakan kuota bagi wakil rakyat PKR. Justeru, jika penyandangnya bukan lagi ADUN PKR, maka ia wajar dikosongkan untuk diisi oleh wakil rakyat daripada parti berkenaan.

Mengambil kira kenyataan Azizan itu, hanya dua wakil rakyat PKR di Kedah yang masih belum memegang jawatan Exco iaitu ADUN Sidam, Tan Show Kang dan ADUM Kulim, Lim Soo Nee yang pernah 'mempariakan' kerajaan Barisan Nasional (BN) Kedah terdahulu dalam sidang DUN 9 Ogos lalu.

Dua lagi wakil rakyat PKR iaitu ADUN Bukit Selambau, S. Manikumar dan ADUN Bakar Arang, Tan Wei Shu masing-masing telah mempunyai jawatan sebagai Exco Kedah.

Bagaimanapun keputusan akhir terletak di tangan Sultan Kedah. Baginda yang berkenan membuat pelantikan, maka baginda juga yang berkuasa melucutkan jawatan.

Rata-rata menjangkakan Mohd. Radhzi akan dilucutkan daripada jawatannya yang disandangnya itu. Bagaimana pula jika sebaliknya yang berlaku?
Kemungkinan itu tidak boleh ditolak kerana tiada apa yang mustahil dalam politik. Lihat sahaja isu ADUN Kota Siputeh. Tidak pernah ada dalam sejarah negara seorang wakil rakyat mungkin digugurkan daripada jawatan hanya kerana tidak hadir sidang dun dua kali berturut-turut. Itupun Abu Hasan telah mengemukan surat cuti sakit.

Mengikut sumber yang mempunyai maklumat yang agak kuat, kemungkinan wakil rakyat PKR tidak lagi memegang portfolio berkenaan boleh berlaku kerana ada ura-ura mengatakan jawatan tersebut perlu disandang oleh wakil rakyat Melayu.
Jika diambil kira ura-ura berkenaan, maka PKR tidak boleh mencadangkan nama wakil rakyat mereka. Apa akan terjadi jika ramalan ini benar-benar berlaku? Tunggu dan lihat!

No comments: