24 August 2009

POLITIK DI LUNAS

Salam Ramadan....
KHABAR angin mengenai akan ada wakil rakyat sama ada daripada Barisan Nasional (BN) atau pakatan pembangkang di Kedah lompat parti telah bertiup sejak Mei 2008 lagi. Ketika itu kedua-dua belah pihak, BN mahupun kerajaan pakatan pembangkang bijak bermain psikologi mengenai isu tersebut.

Sama ada pemimpin BN atau pakatan pembangkang ketika diajukan soalan mengenai khabar angin berkenaan begitu pandai memberikan jawapan: ''Lompat parti? Jangan dengar sebelah pihak, mungkin 'orang sebelah' sana pun hendak lompat ke sini.''

Khabar angin mengenai isu lompat parti di negeri ini semakin bertiup kencang menjelang persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah. Terbaru, sehari sebelum persidangan DUN pada 9 Ogos lalu, kerajaan negeri dikhabarkan ingin membuat sidang akhbar mengenai perkara berkenaan bagi menafikan akan ada wakil rakyatnya lompat parti.

Tidak diketahui kenapa sebabnya, sidang akhbar itu dibatalkan pada saat-saat akhir dan diganti dengan sidang akhbar Azizan selepas persidangan DUN berkenaan.

Jika dahulu pakatan pembangkang turut bermain psikologi mengenai perkara tersebut, namun sejak akhir-akhir ini mereka mengambil pendekatan berbeza.
Sepanjang isu itu diperkatakan, BN menjadi mangsa tuduhan sebagai dalang kepada tindakan menarik wakil rakyat pembangkang lompat parti bagi menggulingkan kerajaan negeri sekarang. Bagaimanapun BN menafikan perkara tersebut dengan mengatakan tidak berminat dan mahu menawan kembali negeri ini secara bermaruah.

Semalam, kerajaan pakatan pembangkang Kedah dikejutkan dengan pengumuman Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lunas, Mohd. Radzhi Salleh keluar daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Dalam pengumumannya di Kuala Lumpur, Mohd. Radzhi bagaimanapun tidak melepaskan jawatan sebagai Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Pembangunan Masyarakat dan Sumber Tenaga Manusia Kedah.

Seperti diduga, pakatan pembangkang mendakwa BN terlibat dalam tindakan ADUN Lunas itu. Serentak dengan itu, Mohd. Radzhi diserang oleh blog pro pembangkang malah dituduh oleh pemimpin sebagai seorang yang lemah dan bermasalah.

Persoalannya kenapa sekarang baru menimbulkan ADUN Lunas itu bermasalah dan lemah di kawasan dan dalam jawatan Exco yang disandangnya itu?

Malah dalam satu laman blog pro pembangkang menyebut ''Dia ada beberapa bidang tanah di Langkawi yang dibeli semasa menjadi Exco, dia ada kilang mencetak pakaian di Napoh, dia ada restoran di Shahab Perdana, dia ada beberapa isteri yang telah dikahwininya, salah seorang semasa menjadi Exco, tetapi sudah diceraikannya. Dia dapat banyak juga dah pun.. kalau itu yang dia cari... (kedahlanie.blogspot.com).'

Kenapa sewaktu YB Radzhi masih di dalam PKR, segala perbuatanya yang kononnya dilakukan olehnya tidak didedahkan? Media yang cuba merisik pada masa itu juga dihampakan dengan jawapan-jawapan yang 'membela' ADUN Lunas itu.
Sekalipun benar dakwaan Mohd. Radzhi dikesan bermasalah sejak awal lagi, kenapa kerajaan negeri melantik semula beliau sebagai Exco pada 3 mac lalu selepas setahun menjalankan tugas.
Namun kenapa bila sebaik dia keluar daripada PKR bertalu-talu cemuhan diterimanya. Apa akan jadi jika dia masih wakil rakyat PKR?

Jawapannya cukup mudah, imej ADUN Lunas itu perlu dijaga kerana dia Exco kerajaan negeri dan anggota pakatan pembangkang Kedah.

Biar benarpun dakwaan yang ditujukan kepada Mohd. Radzhi, ia perlu disembunyi bagi menjaga imej kerajaan pakatan pembangkang.
Inilah sebenarnya dunia politik.

Dalam Mohd. Radzhi dituduh macam-macam, sebagai manusia yang waras, kita perlu menilai alasan yang dikemukakannya untuk keluar daripada PKR. Cerita mengenai beliau tidak puas hati dengan PKR yang didakwanya lari daripada landasan perjuangan sebenar sudah lama kedengaran.

Bukan mudah bagi seorang wakil rakyat membuat keputusan yang berisiko tinggi seperti diambil Mohd. Radzhi jika partinya pandai menjaga kebajikannya. Jika PKR dapat menjaganya dengan elok, mustahil untuk beliau meninggalkan parti itu walaupun mungkin benar dakwaan dia bermasalah.
Kata orang, kalau tiada angin, masakan pokok akan bergoyang. Kalau PKR tiada masalah, takkan wakil rakyatnya keluar parti. Politik tetap politik tanpa mengira sesiapa, itu yang pasti!!
POLITIK DI LUNAS (II)
PADA 9 Ogos lalu, Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Azizan Abdul Razak mengadakan sidang akhbar sejurus selepas persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah. Antara soalan yang diajukan kepada beliau ialah mengenai khabar angin kononnya tindakan lompat parti wakil rakyat di negeri itu.

Berikut ialah sebahagian jawapan yang diberikan oleh beliau:-

Mengulas mengenai khabar angin kononnya ada beberapa wakil rakyat di negeri ini akan lompat parti untuk menyertai Barisan Nasional (BN), Azizan berkata, sekalipun perkara itu benar-benar berlaku, beliau yakin jumlah yang akan melompat itu tidak cukup untuk menumbangkan kerajaan negeri sekarang.

Beliau yang mengakui ada mendengar khabar angin tersebut khususnya menjelang persidangan DUN bagaimanapun berkata, pihaknya sudah bersedia untuk menghadapi sebarang masalah yang akan timbul.

Katanya, beliau juga percaya Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak tidak merestui tindakan lompat parti di negeri ini kerana ia bercanggah dengan dasar beliau yang mahu mengamalkan iaitu ketelusan dalam pentabiran. Kerajaan pakatan pembangkang di Kedah terdiri daripada 16 wakil rakyat Pas, lima daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan satu DAP.
POLITIK DI LUNAS (III)
BAGI mengelakkan Barisan Nasional (BN) daripada terus 'dikambinghitamkan' mengenai isu lompat parti, Timbalan Pengerusi BN negeri, Datuk Ahmad Bashah Md. Hanipah membuat kenyataan agar oarang ramai tidak tersalah tafsir berhubung perkara yang heboh diperkatakan itu.

Berikut ialah kenyataan Ahmad Bashah pada 10 Ogos lalu:-

Rakyat negeri ini diminta tidak terpengaruh dengan dakyah sesetengah pihak kononnya BN Kedah menjadi dalang kepada isu lompat parti yang hangat diperkatakan di negeri ini.

Ahmad Bashah berkata, prasangka buruk terhadap parti itu berhubung isu berkenaan perlu dibuang kerana BN negeri tidak mempunyai sebarang kaitan mengenainya.

Tegas beliau, BN negeri tidak berminat untuk 'mengumpan' anggota pakatan pembangkang lompat parti memandangkan parti itu mempunyai strategi sendiri untuk menawan kembali Kedah menerusi pilihan raya umum akan datang.

''Bukan cara BN Kedah mengumpan wakil rakyat kerajaan negeri untuk lompat parti. Jika benar ada yang mahu lompat parti, itu hak masing-masing tetapi jangan sesekali mengaitkan BN sebagai dalangnya,'' katanya.

Ahmad Bashah berkata, tumpuan BN negeri ialah kepada usaha merampas semula Kedah daripada pakatan pembangkang pada Pilihan Raya Umum Ke-13, justeru tidak timbul parti itu terlibat dengan isu lompat parti.

Katanya, BN Kedah berazam untuk memenangi pilihan raya umum itu dengan bergaya, sebagaimana dikehendaki oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan bukannya menang dengan keputusan yang diibaratkan sebagai 'sipi-sipi' sahaja.

No comments: