04 August 2009

Mereka itu pejuang...?

PESERTA demonstrasi haram memang hebat. Apa tidaknya, pihak berkuasa yang mempunyai peralatan lengkap pun mereka berani sanggah.

Golongan ini sungguh berani. Mereka bangga dengan diri sendiri yang kini bergelar pejuang.

Mereka ini patut diakui bukan pengecut. Mereka berani berdemonstrasi kerana tahu paling teruk pun hanya akan disembur gas pemedih mata atau dengan meriam air. Kalau setakat gas pemedih mata, air garam sudah awal-awal lagi disediakan bagi mengurangkan kesan. Jadi apa nak takut?

Lainlah kalau polis guna peluru hidup, entah-entah kelompok yang berani ini pun batang hidung tidak nampak. Mereka tidak takut kerana ramai. Ahli Parlimen dan dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) pun ada yang menyokong mereka.

Kumpulan ini memang berani. Berani kerana tahu jika polis guna kekerasan melampau, pihak berkuasa itu pula yang akan dipersalahkan. Dapatlah mereka merperjuangkan satu kes baru pula jika ada yang tercedera teruk atau mati.

Masuk penjara? Apa nak takut. Seluruh Malaysia malah negara luar pun tahu mereka ditangkap. Kalau sesuatu buruk terjadi, sekali lagi pihak berkuasa akan dipersalahkan. Dapat satu lagi alasan berdemonstrasi tuntut keadilan. Dapatlah lagi gelaran pejuang.

Bila dibebaskan, kelompok ini mesti bangga dengan diri sendiri. Balik kawasan cerita kepada kawan-kawan bagaimana mereka berjuang dan bertempur dengan polis. Kawan-kawan sekeliling angkat tangan tabik. Anak cucu mesti bercerita tentang keberanian mereka. Hebat sungguh mereka ini.

Mereka bangga kerana orang lain tak berani buat sebagaimana yang mereka buat. Mereka pejuang anti Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA). Jasa mereka akan dikenang sampai bila-bila. Pujian diterima bukan sedikit. Tetapi jangan lupa yang mengeji dan mengutuk malah menyumpah-nyumpah juga tidak kurang.

Peduli apa orang lain, yang penting mereka pejuang anti ISA-penentang kerajaan. Baik atau buruk dasar atau tindakan kerajaan itu-bila dah diarahkan-bangkang tetap bangkang. Begitulah seterusnya.

Kalau berdemonstrasi dalam tempat tertutup seperti dalam stadium mana sesuai. Tidak dapatlah mereka ini menunjukkan keberanian mereka. Siapa lagi yang hendak membazirkan masa pihak keselamatan kalau demonstasi dibuat dalam tempat tertutup? Gagallah mereka tampil sebagai hero. Bila sudah tidak jadi hero, tiada lagilah pujian. Macam mana hendak dapatkan status 'pejuang' bila tidak dapat buat demonstrasi jalanan.

Mereka ini memang hebat dan berani dalam perjuangan yang dipertahankan mereka. Cuma persoalannya adakah perjuangan itu tulen? Adakah perjuangan itu direstui oleh mereka yang sebangsa dan seagama dengan mereka? Jika ia tidak direstui secara keseluruhannya, sudah pasti ia bukan perjuangan sejati.

Lumrah manusia dalam diri mereka suka memberontak!

2 comments:

epain said...

siapalah yang "tergamak" menggelarkan diri mereka pejuang?...

zaman sekarang mana pejuang...pejuWANG ada...

welkam to blog world...buat sedara from rawai

samdol said...

Pejuang tulin tak tulun depa peduli apa, yang penting aljuburi suka.