05 August 2009

Udang di sebalik batu?

KIRA-kira dua tahun lalu di Kedah, sekumpulan manusia-lebih kurang 50 orang-menjinjing plastik berisi sampah termasuk air ikan ke pekarangan bangunan pejabat Majlis Bandar Raya Alor Setar (MBAS).

Kumpulan yang mendakwa mewakili penduduk dari beberapa buah taman di sekitar bandar raya itu bertindak sedemikian untuk menemui Datuk Bandar sebagai tanda protes terhadap pihak berkuasa tempatan (PBT) tersebut yang dikatakan mereka sebagai lemah dalam menangani masalah sampah di kawasan masing-masing.

Tiga wakil kumpulan itu, yang mana salah seorang daripadanya kini bergelar Ahli Parlimen (MP) Kerajaan Kedah (dulu rakyat biasa) dibenarkan masuk untuk menemui Datuk Bandar. Mereka berpeluang melahirkan kekesalan mereka mengenai masalah berkenaan.

Mereka memberitahu terpaksa mengambil tindakan itu kerana kecewa dengan kelemahan MBAS (yang ketika itu di bawah pimpinan Kerajaan Barisan Nasional (BN) Kedah) dalam melaksanakan tanggungjawab membersih dan mengangkut sampah sarap.

Kumpulan itu mendakwa kawasan tempat tinggal mereka bukan sahaja tercemar dengan bau busuk, tetapi sampah sarap yang dibiar berselerak hingga mendedahkan penduduk dengan risiko penyakit seperti demam denggi.

Sebagai rakyat yang membayar cukai pintu, mereka merasakan tidak patut dibebani dengan masalah longgokan sampah sarap. Itu alasan yang dikemukakan.

Mereka mahu masalah itu diatasi dan jika ia masih berlarutan, kumpulan itu akan terus membawa plastik berisi sampah ke bangunan MBAS secara lebih kerap sebagai tanda kekesalan mereka dengan PBT terbabit.

Dua tahun berlalu dan salah seorang wakil kumpulan itu sudah bergelar MP. Beliau menang di kawasan ditandinginya selain partinya bersama rakatan pakatan mereka juga berjaya mengambil tampuk pemerintahan daripada BN pada Pilihan Raya Umum 2008 di Kedah.

Pentadbiran Kedah kini beralih tangan. Namun masalah longgokan sampah masih sama seperti dua tahun lepas. Rungutan penduduk yang tidak berpuas hati dengan masalah berkenaan kerap kali disiarkan media.

Apa yang peliknya, kumpulan manusia yang pernah menjinjing plastik sampah tidak lagi berbuat demikian selepas pentadbiran kerajaan beralih tangan. Mereka kelihatan lebih 'menikus' walaupun masih membuat gesaan supaya masalah itu diatasi segera.

Di mana keberanian dan tindakan sinis yang pernah dibuat terhadap PBT yang berada di bawah kerajaan terdahulu? Kenapa tidak bertindak seperti dahulu yang menjuarai isu sampah sedangkan masalah longgokan yang tidak dikutip masih sama, malahan mungkin lebih teruk dari dahulu?

Mungkin tindakan seumpama itu tidak lagi perlu diambil kerana risau imej kerajaan negeri yang mereka sokong akan terjejas.

Dalam hal ini, kumpulan itu tidak boleh bertindak seperti talam dua muka. Mereka mendakwa mewakili penduduk tetapi tidak lagi mengambil tindakan sinis seperti dua tahun lalu.

Apa bezanya masalah sampah dua tahun lepas dan sekarang? Jawapannya tiada apa yang berbeza. Cuma perubahan parti yang memerintah, namun masalah dulu masih berlaku pada hari ini. Jadi kenapa perlu 'berdiam diri'? Kenapa tidak dibawanya plastik sampah ke MBAS? Mungkin 'perjuangan mereka itu sudah 'kendur' bagi menjaga imej kerajaan negeri pada masa sekarang.

Kumpulan ini perlu ikhlas dalam perjuangan mereka. Bukan memihak kepada mana-mana pihak, tetapi sekadar untuk berlaku adil.

Ini lebih-lebih lagi apabila masalah sampah mungkin menjadi lebih serius berikutan cadangan melaksanakan penswastaan sisa pepejal di negeri utara Semenanjung yang berkuat kuasa mulai bulan ini. Cadangan ini bagaimanapun ditentang oleh sebahagian besar pekerja sokongan perkhidmatan sisa pepejal yang berkhidmat dengan PBT. Rata-rata pekerja ini tidak setuju dengan pilihan yang diberikan oleh pihak majikan kepada pekerja jika pengurusan sisa pepejal diswastakan. Entah apa perkembangan isu ini pun tidak diketahui lagi.

Jadi bila masalah sampah ini akan selesai? Jika ia masih berlarutan, di mana kumpulan manusia yang pernah menjinjing plastik sampah bagi melahirkan kekecewaan mereka itu?

Mungkin tindakan kumpulan itu dua tahun lalu ada udang di sebalik batu, Wallahualam!

3 comments:

epain said...

silap2, dulu bwk bag plastik sampah sekang ni dah dpt projek kutip sampah kot...

takpun dpt projek supply tong sampah...

kalau betul ada jenis org mcm ni...maknanya diorang pun secara tak langsung tergolong dalam golongan sampah....yang busuk lagi membusukkan

samdol said...

Elok cekup plastik sampah dgn sampah2 sekali kat kepala sekoq2

sue said said...

bosan la aku.. asyik2 sembang politikus ja.. tulih la pasai kuih ka, baju ka, pemandangan yang indah ka.... bleh la escape skit dr isu2 yg nyesakkan kepala hotak aku nih.. balik2 politik, capek gue!