29 July 2009

Lidah Dalam Gigi

AGAK terkejut apabila menerima panggilan telefon daripada seorang seorang rakan karib dari kampung yang jarang dapat berhubung dengannya.

Kebiasaan setiap kali berhubung kami akan bercakap mengenai kisah rakan-rakan lama. Jarang sekali membicarakan mengenai isu-isu semasa kerana sahabat ini lebih berminat dengan dunianya sendiri yang jauh daripada hiruk pikuk politik dan lain-lain.

Bagaimanapun nada panggilannya pada kali ini berbeza. Entah kenapa dia tiba-tiba meluahkan perasaan mengenai seorang insan yang dihormatinya, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat atau Tok Guru Nik Aziz.

''...... Pergi jahanamlah UMNO.'' Reaksi yang diberikan oleh Tok Guru Nik Aziz ketika diminta menjelaskan lebih mendalam mengenai kerjasama antara kerajaan Kelantan dan Pusat seperti dilaporkan sebuah akhbar kelmarin, menyentap hatinya.

Sebaik membaca laporan itu, sahabat ini mengakui secara tiba-tiba dia teringat kepada bapanya yang merupakan seorang ahli UMNO.

Sepanjang dikenali, bapanya seorang yang baik. Solatnya cukup, pekertinya tinggi dan tuturnya berlapik. Masa malamnya diisi di masjid dan tanggungjawab kepada keluarga tidak diabaikan. Walaupun tidak fanatik tetapi bapanya cukup sayang dengan UMNO. Kepada pemimpin parti itu bapanya pernah mendapatkan bantuan untuk memudahkan persekolahan atau pengajian anak-anaknya termasuk menjadi penjamin pelajaran dan lain-lain. Jika berbicara di kedai kopi, pasti UMNO yang akan dipertahankan seandainya ada pihak cuba memburukkan parti itu.

Bapa mertuanya pula seorang ahli Pas. Agak agresif dengan parti itu dan dia pernah memberitahu melihat poster Tok Guru Nik Aziz yang sedang menadah doa terpampang di rumah mentuanya itu.

Mempunyai seorang bapa yang berpegang kepada prinsip perjuangan UMNO dan mentua yang merupakan penyokong kuat Pas membuatkan sahabat ini lebih bersikap berkecuali. Dia tidak terlalu fanatik untuk menyokong UMNO mahupun Pas apatah lagi Parti Keadilan Rakyat (PKR). Baginya, pemimpin UMNO perlu disangjungi dan pemimpin Pas pula dihormati.

Perlakuan Tok Guru Nik Aziz mengenai UMNO sejak kebelakangan ini mula mengikis rasa hormatnya kepada Pas.

Baginya, hina sangatkah pemimpin UMNO yang pernah membantu adik beradiknya melanjutkan pelajaran dan mendapat kehidupan yang lebih baik sehingga dihambur sedemikian rupa oleh seorang pemimpin yang bertaraf ulama?

Tiada sisi muliakah di dalam UMNO yang menjadi tunjang kepada Barisan Nasional (BN) memerintah negara ini sejak lebih 50 tahun lalu?

Perlukah menghamburkan kata-kata 'pergi jahanam' kepada parti yang tidak boleh tidak dinafikan sumbangannya kepada rakyat negara ini?

Ini lebih-lebih lagi kata-kata seumpama itu terbit dari mulut seorang pemimpin yang dipanggil 'Tok Guru'.

Pada saat sahabat ini mengakui memang UMNO juga tidak sempurna, penuh dengan budaya 'hulur duit' namun jauh di sudut hatinya mendoakan agar UMNO-Pas bersatu.

Biar dua parti terbesar orang Melayu ini bersatu. Tiada lagi caci mencaci antara mereka kerana kedua-dua ahlinya tetap beragama Islam.

Ketepikan soal kepentingan politik demi kesejahteraan semua. Ketepikan individu yang bermati-matian menyokong sesebuah parti kerana mungkin di belakang mereka ada kepentingan. Mungkin ada dendam dan mungkin ada perselisihan yang disimpan di dalam hati sehingga sanggup melihat musuhnya hancur.

Gesaan seumpama ini telah banyak kali dibuat namun sehingga kini sekilas cahayanya masih belum kelihatan biarpun pernah ada harapan.


Harapan sahabat ini mungkin tidak mewakili suara orang Melayu keseluruhannya, namun ia menggambarkan sekurang-kurangnya ada atau mungkin ramai kaum yang makan ubi kayu itu ingin melihat penyatuan UMNO-Pas.

Cuma harus diingat, orang politik tetap main politik!

1 comment:

su said...

Setuju sangat..memang hujah2 beginilah yang saya perlukan untuk menambah keyakinan saya yang UMNO memang banyak berjasa..bila majoriti staff di sini berpihak kepada parti pembangkang saya sedikit terkilan bilamana langsung tiada di mata mereka kebaikan yg telah ditabur oleh parti yg telah lama memerintah ini..politik memang tetap main politik..tapi alangkah bagusnya jika semua org dapat berfikir secara rasional..