26 August 2009

Kelabu di Siputeh

''Bukan yang bermakna puasa itu sekadar menahan makan, minum tetapi puasa yang sungguh itu menahan diri daripada lagha (perkataan tidak berguna) dan kata-kata yang keji'' - Riwayat Muslim.

SEMENTARA sabar menunggu ketibaan 1 Syawal, rakyat negara ini amnya dan di Kedah khususnya turut menantikan keputusan yang melibatkan kedudukan dua wakil rakyat di negeri Jelapang Padi.

Pertama mengenai status jawatan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lunas, Mohd. Radzhi Salleh sebagai Exco kerajaan negeri yang akan diputuskan oleh Sultan Kedah pada bila-bila masa.

Penantian kedua pula mengenai kedudukan ADUN Kota Siputeh, Datuk Abu Hasan Sarif sama ada akan digugurkan daripada jawatannya kerana didakwa gagal hadir persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) sebanyak dua kali berturut-turut tanpa kebenaran Speaker.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dijangka mengumumkan mengenai perkara berkenaan minggu depan.

Isu Abu Hasan dilihat lebih rumit kerana pihak-pihak di belakang kejadian itu dikatakan mempunyai persiapan rapi untuk berdepan dengan sebarang kemungkinan keputusan SPR. Ini bermakna, apapun keputusan suruhanjaya itu kelak, isu berkenaan akan tetap berlarutan.

RAMALAN 1 - Jika SPR mengumumkan kerusi Kota Siputeh Kosong.

Jika keputusan ini yang dibuat, maka mahu atau tidak pilihan raya kecil akan diadakan di kawasan berkenaan. Meskipun penyandangnya daripada calon Barisan nasional (BN), tetapi saingan di DUN berkenaan dijangka sengit berikutan majoriti kecil (495 undi) yang diperoleh Abu Hasan pada pilhan raya umum lalu.

Keadaan ini turut didorong dengan situasi di mana kerajaan negeri kini dipimpin oleh pakatan pembangkang yang menjadikan saingan lebih terbuka.

Peluang kedua-dua pihak, BN atau pakatan pembangkang diramalkan seimbang. Namun kehadiran Datuk Mukhriz Mahathir sebagai Ahli Parlimen Jerlun di situ dilihat memberi sedikit kelebihan kepada BN.

RAMALAN 2 - Jika SPR mengekalkan Abu Hasan sebagai ADUN Kota Siputeh.

Pakatan pembangkang mungkin akan memanjangkan isu ini dengan mengemukakan 'modal-modal' baru yang akan didakwa mereka sahih termasuk salinan surat sijil sakit yang diperoleh Abu Hasan. Surat sakit itu mungkin akan dipertikaikan.

Mereka mungkin akan menjadikannya sebagai 'bukti' untuk mendesak SPR menimbangkan semula keputusannya. Jika ditolak, semua modal yang mereka ada itu akan dijadikan sebagai kempen menguatkan pengaruh mereka di Kedah.

RAMALAN 3 - Jika SPR mengekallkan Abu Hasan sebagai ADUN Kota Siputeh.

Selain cara di atas, Speaker DUN juga dikatakan boleh menggunakan kuasanya dengan menggantung tugas Abu Hasan nmengikut peruntukan yang termaktub dalam Undang-Undang Tubuh Negeri.

Jika pendekatan ini diambil, Abu Hasan mungkin akan kehilangan elaun sebagai wakil rakyat sementara menunggu penggantungannya tamat.

Melihat kepada ramalan-ramalan ini, kisah di Kota Siputeh masih panjang, tetapi ia akan selesai secara berperingkat selepas beberapa ketika.

Cuma kerana berpolitik, pengundi di DUN berkenaan yang menjadi mangsa.

1 comment:

epain said...

adakah tindakan radzhi menandakan bermulanya satu lagi "kisah perak"...

kalau spr istihar kosong, BN mesti dlm dilemma...sebab dulu mendakwa tindakan fairuz khairudin tidak mengikut perlembagaan...

sedangkan tindakan speaker pastinya mengikut perlembagaan negeri kedah